sksbemban.zoom-a.com
SEKOLAH KEBANGSAAN SERI BEMBAN
SK SERI BEMBAN 77200 BEMBAN, MELAKA Tel : 06-5217834, Faks :
e-mel : sksbemban@zoom-a.com
| laman utama | kata alu-aluan | sejarah | falsafah pendidikan | logo sekolah | visi dan misi | lagu sekolah | berita terkini |

SEJARAH SEKOLAH


Bangunan pejabat sekolah

Bangunan utama

"Ilmu Itu Suluh Hidup", Menyedari hakikat sepotong ayat ini maka kata sepakat telah dibuat oleh sekumpulan penduduk kampung terpencil lebih dari setengah abad yang lalu untuk mendapatkan sebuah institusi khusus tempat anak-anak mereka belajar.

Mukim Ayer Panas telah diterokai oleh lima orang sahabat. Masing-masing bergelar Tok Simpang yang dimakamkan di Kampung Asam Kumbang, Tok Majid dimakamkan di Kampung Ulu Duyung, Tok Panglima Hitam dan Tok Pulau dimakamkan di Kampung Ayer Panas dan Tok Segading dimakamkan di Kampung Lubuk Kasar. Mereka berasal dari Tanah Palembang dan sampai ke mukim ini pada penghujung tahun 1800 masihi.

Murid awal

Murid awal

Pada tahun 1924, dengan kesedaran yang mendatang dan muafakat penduduk kampung, sebuah rumah pondok telah didirikan di Kampung Ulu Duyung sebagai sekolah. Tapak bangunan ini telah diwakafkan oleh seorang penduduk kampung. Luas bangunan yang didirikan lebih kurang 12 meter kali 6 meter.

Bangunan sekolah ini didirikan secara bergotong-royong. Murid-murid menerima pelajaran sambil duduk bersila. Bahan-bahan tempatan seperti kayu hutan, buluh dan daun rumbia sebagai atap telah digunakan. Tiada nama khusus untuk sekolah ini. Tokoh terpenting yang mengasaskan sekolah ini ialah Datuk Penghulu Haji Yusoh Bin Aman.

Pada Peringkat awal, seramai 40 orang murid telah ditempatkan di sekolah ini dan kesemua muridnya adalah lelaki. Matapelajaran yang diajar pada masa itu adalah Bahasa Melayu yang terbahagi kepada tiga aspek iaitu Bacaan, Ejaan dan Tulisan (Jawi dan Rumi), Agama Islam, anyaman serta kerjatangan.

Guru pertama yang bertugas ialah Allahyarham Cikgu Md Din Bin Hj. Joned. Beliau mendapat didikan dari Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim (sekarang dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris). Tanggungjawab seorang guru amatlah berat pada masa itu. Bertugas bersendirian dan terpaksa bertindak sebagai pentadbir (Guru Besar) dan guru bagi semua matapelajaran. Segala hal berhubung dengan sekolah terpikul dibahunya.

Pada tahun 1926, seramai enam orang murid perempuan mula belajar di sekolah ini. Murid yang cerdik telah naik ke darjah dua dan tiga. Darjah tiga merupakan darjah tertinggi. Bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar pada masa itu, murid yang cerdik telah dipilih untuk membantu tugas guru.

Pakaian murid lelaki pada masa itu ialah baju biru dan seluar hitam. Murid perempuan pula memakai baju kurung. Tiada had umur yang ditetapkan bagi murid yang mahu bersekolah. Sekolah permulaan ini telah berkekalan sehingga tahun 1932.

Pada 2.3.1932 sebuah sekolah baru yang lebih selesa telah didirikan. Sekolah ini letaknya lebih kurang satu kilometer dari bangunan lama. Tapak sekolah yang lama tidak dapat digunakan lagi kerana terlalu kecil dan tidak sesuai dengan bangunan baru. Luas kawasan yang baru ini hampir setengah hektar. Ianya dibina di atas tanah kerajaan. Ianya juga mendapat bantuan penuh dari kerajaan.

Bangunan ini berbentuk 'I' dan dua tingkat. Tidak ada sekatan bilik darjah. Bilik darjah hanya disekat dengan papan adang-adang. Sekolah ini pada permulaanya dikenali sebagai Sekolah Melayu Ayer Panas kemudian ditukar menjadi Sekolah Umum Ayer Panas dan bertukar lagi kepada Sekolah Kebangsaan Ayer Panas.

Sebuah rumah guru juga telah didirikan berhampiran dengan bangunan sekolah. Bangunan rumah guru ini terpaksa diruntuhkan kerana projek pembinaan bangunan baru yang didirikan pada tahun 1982.



Bangunan blok B

Pada 31.1.1981, sebuah bangunan baru yang lebih moden telah didirikan sepenuhnya oleh kerajaan. Bangunan batu dua tingkat ini dilengkapi dengan empat bilik darjah, bilik tayang, bilik perpustakaan (kedua-duanya adalah diubahsuai dari bilik darjah), bilik guru dan pejabat.

PIBG telah sebulat suara memberikan nama baru kepada sekolah ini. Dengan persetujuan ramai dan kelulusan dari pihak berkuasa, sekolah ini telah diberi nama "SEKOLAH KEBANGSAAN SERI BEMBAN". Ini adalah kerana pokok-pokok bemban yang banyak terdapat dikawasan ini pada satu masa dahulu.

Atas usaha gigih dan sokongan kuat Guru Besar serta PIBG, sebuah bangunan tambahan telah dibina pada bulan Februari 1989. Bangunan ini mula digunakan pada 11.7.1989. Ianya terdiri dari empat buah bilik darjah, bilik tayang, Pusat Sumber dan bilik sembahyang.

Pada 15.1.1997 JKKK Ayer Panas telah bermesyuarat untuk memohon sebuah lagi bangunan tambahan bagi menampung bilangan murid yang semakin bertambah seiring dengan kewujudan taman-taman perumahan di sekitar kawasan sekolah.

Ramai bekas murid sekolah ini telah berjaya mencipta nama dalam pelbagai bidang, sama ada dalam sektor awam ataupun swasta.
Antara tokoh yang mendapat pendidikan awal di sekolah ini ialah Datuk Emran Kadir, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.



 


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: